SK Kampung Pagi terima empat komputer

 

JERANTUT 24 Jan. – Sebuah Sekolah pedalaman di Hulu Tembeling dekat sini dianggap bertuah apabila menerima empat unit komputer bernilai RM 15000 daripada sebuah syarikat swasta hari ini.

 

Keempat-empat unit komputer itu diserahkan oleh Pengerusi Syarikat Wirama Semangat Sdn Bhd. (Wirama Semangat) Mohd Abdah Mohd Alif kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Ideris Zainol di sekolah itu.

 

Hadir sama pada masjlis itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pagi, Abd Razak Yatim, Ketua Kampung Pagi, Zakaria Ramly dan Pengarah Urusan Wirama Semangat, Datuk Liew Leong Tat.

 

Ideris ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada syarikat terbabit yang menghulurkan sumbangan komputer bagi kemudahan pelajar di pedalaman.

 

Mohd Abdah Mohd Alif (tengah) dan disaksikan Liew Leong tat (kanan) menyerahkan peralatan elektronik kepada Abd Razak (kiri) di Kampung Pagi, Jerantut, Pahang, semalam.

 

Sumbangan itu, jelas beliau, akan merangsang semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan pedalaman dan bandar.

 

“Pelajaran murid boleh meningkat apabila pelajaran dilaksanakan menggunakan komputer menerusi penyeliaan guru berpengalaman.” katanya.

 

Abdul Razak yang berterima kasih kepada syarikat berkenaan menyifatkan sumbangan itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar di pedalaman kepada dunia luar. Dengan adanya kemudahan komputer, ia dapat memberi kemudahan kepada murid dan penduduk di sini mengakses maklumat dan menyelesaikan sesuatu perkara menggunakan internet.

 

“Kemudahan ini juga meringankan beban penduduk di sini kerana kesukaran perhubungan ke Bandar Jerantut yang hanya menggunakan bot.” katanya.

 

Tambah beliau, syarikat swasta lain sewajarnya meneladani Wirama Semangat yang menyumbang komputer kepada sekolah di pedalaman sejajar dengan tanggungjawab sosial dalam bidang pendidikan. Sementara itu, Mohd Abdah berkata, sumbangan berkenaan untuk menggalakkan murid mendalami bidang ICT selain membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

 

“Setelah beberapa kali singgah di sini, kami terpanggil untuk menyumbangkan peralatan komputer bagi melengkapkan kemudahan di bilik komputer sekolah ini.

 

“Sumbangan amal jariah ini sejajar dengan hasrat syarikat ini untuk membantu pelajar miskin dipedalaman supaya belajar dengan selesa dan meningkatkan pencapaian masing-masing dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

 

Mohd Abdah turut meminta guru dan ibu bapa mengawasi murid supaya tidak menyalahguna kemudahan ICT itu dengan mengakses maklumat dan bahan yang boleh merosakkan akhlak.

 

 

Sumber:Utusan Online - Jerantut 24 Jan 2010