SK Kampung Pagi lancar kempen  bumi  hijau

 

JERANTUT 9 Okt. - Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini melancarkan kempen bumi hijau bagi mendidik murid-murid sekolah itu mencintai alam sekitar.

 

Sejajar dengan kempen itu, pihak sekolah tersebut menerima 10 benih pokok rambutan, manggis dan mangga daripada sebuah syarikat swasta yang beroperasi di Kuantan.

 

Guru Besar SK Kampung Pagi, Ideris Zainol berkata, sumbangan itu membuktikan bahawa syarikat swasta turut mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjaga kehijauan alam sekitar bermula di peringkat sekolah.


Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat swasta tampil menyalurkan sumbangan sebagai komitmen mereka menjaga alam sekitar.


“Keprihatinan syarikat swasta ini sewajarnya di ikuti syarikat lain bagi membantu program kehijauan dan menjana modal insan bermula di peringkat sekolah.” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program tersebut di sekolah itu hari ini.

 

  

Liew Leong Tat (dua dari kiri) di bantu oleh Ideris Zainol (kanan) dan penduduk, menanam benih pokok manggis di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, Pahang, semalam.

Ideris memberitahu, pembabitan syarikat berkenaan merupakan kerjasama yang dimainkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan (jkkk) Kampung Pagi yang berusaha mendapatkan benih pokok untuk di tanam di sekolah tersebut.

 

Beliau menambah, program itu juga mendapat Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pagi yang kerap mengadakan gotong-royong membersihkan persekitaran sekolah.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan syarikat Wirama Semangat Sdn. Bhd., Datuk Liew Leong Tat berkata, sumbangan benih pokok buah-buahan tempatan kepada SK Kampung Pagi  itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang dimainkan syarikat berkenaan.

 

Beliau berkata, usaha syarikat berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan suasana bersih dan ceria khususnya persekitaran pengajaran dan pembelajaran  yang  lebih kondusif.

 

Sumbangan itu juga, jelasnya, selaras dengan aspirasi kerajaan yang menggalakkan penanaman pokok buah-buahan tempatan.

 

“Kita memilih sekolah ini berasaskan lokasinya di pedalaman di samping pencapaian muridnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang membanggakan setiap tahun.

 

“Kami mahu membantu murid pedalaman agar tidak ketinggalan dalam pelajaran selain menanam sikap mementingkan penjagaan alam sekitar ,” jelasnya.

 

Leong Tat menambah, pihaknya sedia menyumbang bantuan lain untuk meningkatkan lagi kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah berkenaaan pada masa akan datang.

 

 Sumber: Utusan Online - Jerantut 9 Okt 2009