Korporat di saran bantu penduduk miskin

 

JERANTUT 26 Sept – Sektor korporat yang menjalankan aktiviti perniagaan disarankan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan memberikan sumbangan kepada penduduk atau masyarakat di tempat mereka beroperasi.
 
Ahli Parlimen Jerantut Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, sumbangan seperti itu dapat merapatkan hubungan yang lebih harmoni antara syarikat dengan penduduk setempat.

 

Katanya, tidak dapat dinafikan kelancaran sesebuah organisasi atau syarikat juga bergantung kepada hubungan baik mereka dengan penduduk tempatan dengan berkongsi sedikit keuntungan yang diperoleh.

 

“Bagi menghargai kerjasama seperti itu, sektor korporat perlu menghulurkan sedikit sumbangan bagi membantu penduduk miskin, orang kurang upaya, OKU, anak-anak yatim, ibu tunggal dan pendidikan para pelajar.

Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (tengah) menyampaikan bantuan untuk penduduk Kampung Pagi kepada Pengerusi JKKK Kampung Pagi, Zakaria Ramly di Jerantut, baru-baru ini.

 

“Oleh itu, saya amat menghargai sumbangan yang disalurkan oleh sebuah syarikat pembalakan iaitu Wirama Semangat (2007) Sdn Bhd yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada penduduk dibeberapa buah kampung disekitar kawasan mereka beroperasi .” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Jamuan Kesyukuran Penduduk Kampung Pagi anjuran Wirama Semangat (2007) Sdn Bhd. dekat sini baru-baru ini.

 

Turut hadir Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Azizan Wan Abdul Razak, Pengerusi Wirama Semangat, Mohd Abdah Mohd Alif dan Pengarah Urusan Wirama Semangat, Liew Leong Tat.

 

Pada majlis itu, syarikat tersebut menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, 72 keluarga penduduk kampung berkenaaan dan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

 

Selain itu, bantuan juga disalurkan kepada orang kurang upaya (OKU), pelajar cemerlang, anak yatim, ibu tunggal, warga emas Tabung Bekalan Air JKK, Tabung Gerakan Belia 4B dan Tabung Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan Kampung Pagi.

 

Menurut Tengku Azlan, Syarikat pembalakan tersebut telah menunjukkan semangat tanggungjawab korporat yang wajar dicontohi.

 

Sebelum ini terdapat banyak syarikat pembalakan yang beroperasi di sini tetapi tidak pernah menyumbang sedikit pun hasil daripada keuntungan mereka, malah tidak mempedulikan langsung kehidupan masyarakat yang berada disekeliling mereka.

 

“Sebaik habis hasil balak dikeluarkan mereka meninggalkan tempat tersebut begitu sahaja dan kadangkala meninggalkan kesan-kesan yang tidak baik seperti pencemaran sungai yang akhirnya terpaksa di tanggung oleh penduduk setempat selepas itu,” katanya.

 

Sumber:  Utusan Online - Jerantut 26 Sept 2012